Selasa, 15 September 2009

PENULISAN JURNAL PRAKTIKUM

Jurnal (Minggu 9)


Masalah

Sepanjang minggu ini saya berdepan dengan pelbagai gelagat murid-murid yang agak merisaukan. Antara masalah yang paling ketara adalah berkaitan dengan hal kebersihan diri; merangkumi kebersihan pakaian, dan diri sendiri. Kebanyakan murid memandang enteng akan hal ini. Mereka tidak begitu mengambil berat tentang isu penjagaan diri. Ada di antara murid yang memakai pakaian sekolah yang tidak berbasuh selama 5 hari (Ahad hingga Khamis) dan tidak menyerika pakaian dan lain-lain.

Pada pandangan saya, ini tidak sepatutnya berlaku kepada seorang murid sekolah. Mereka sewajarnya berpakaian kemas dan bersih. Namun, ia amat mendukacitakan apabila ada di kalangan mereka yang mempunyai masalah bau badan yang agak kuat sehingga boleh menyesakkan nafas orang di sekelilingnya. Masalah kebersihan ini bukan sekadar berlaku kepada murid Tahap 1, malahan ianya berlaku kepada murid di Tahap 2. Lebih menyedihkan apabila murid Tahun 6 yang sepatutnya menjadi contoh kepada mrid-murid lain juga berkeadaan yang sama.

Sebagai seorang guru, saya menyifatkan keadaan ini dalam fasa membimbangkan dan perlu diatasi segera. Murid-murid sepatutnya berada dalam keadaan bersih dan selesa. Setelah itu, baru mereka boleh belajar dalam keadaan tenang dan bersemangat. Bau yang tidak menyenangkan akan mengganggu guru-guru dan rakan-rakan lain. Oleh yang demikian, masalah ini mesti diambil tindakan dan perlu diselesaikan secepat mungkin.

Analisis masalah

Kebersihan diri adalah antara elemen terpenting yang perlu dititikberatkan oleh setiap individu khususnya murid-murid sekolah. Lagipun, di sinilah mereka sepatutnya menjadikan ia suatu tabiat untuk berpakaian bersih dan kemas. Sekiranya murid-murid bersikap tidak endah dengan hal ini, mereka sememangnya boleh dianggap melanggar peraturan sekolah kerana setiap sekolah meletakkan syarat agar murid berpakaian kemas ketika ke sekolah. Ini membuktikan bahawa kebersihan sangat penting bagi murid-murid. Ahmad Sulaiman (2008) menyatakan:

”Kebersihan adalah salah satu tanda dari keadaan higiene yang baik. Manusia perlu menjaga kebersihan lingkungan dan kebersihan diri agar sihat, tidak bau, tidak menyebarkan kotoran, atau menularkan kuman penyakit terhadap diri sendiri mahupun orang lain. Kebersihan badan meliputi kebersihan diri sendiri, seperti mandi, menggosok gigi, mencuci tangan, dan memakai pakaian yang bersih”.

Sementara itu, seperti yang kita semua sedia maklum, agama Islam juga menitikberatkan soal kebersihan. Justeru, Islam meletakkan kebersihan sebagai sebahagian daripada Iman. Sahari Akim (2008) menyatakan dalam penulisannya bahawa:

”Dalam isu menjaga kebersihan ini, setiap masyarakat perlu mempunyai kesedaran dan sikap bertanggungjawab. Masyarakat perlu mematuhi amalan menjaga kebersihan dari lunas-lunas agama, mempunyai kesedaran sivik yang tinggi dan mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan. Isu kebersihan sememangnya dititikberatkan dalam ajaran agama Islam sendiri. Islam memandang kebersihan itu sebagai sebahagian daripada iman. Kita yakin agama-agama lain juga memberi penekanan terhadap penjagaan kebersihan”.

Kita juga sedar bahawa kebersihan dapat menghindarkan diri dari terkena jangkitan penyakit. Maka, berdasarkan analisa dan pendapat ini, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk terus menjaga kebersihan terutamanya kebersihan diri sendiri. Setelah itu, barulah kita dapat menjaga kebersihan persekitaran.

Cadangan

Usaha membendung masalah ini (tidak menjaga kebersihan diri) patut dipertanggungjawabkan kepada semua individu. Guru-guru perlu memberi nasihat dan bimbingan kepada murid-murid tentang kepentingan menjaga kebersihan diri. Guru-guru boleh menganjurkan kempen-kempen seperti ”Personaliti Indah”, Diri Bersih dan Sihat” dan lain-lain. Melalui kempen seperti ini, murid-murid secara tidak langsung akan menyedari kesilapan mereka dan akan mula berfikir untuk melakukan perubahan demi menjaga kesihatan mereka.

Untuk menyuntik kesedaran murid-murid tentang peri pentingnya kebersihan, guru bimbingan boleh mengadakan bimbingan kelas terutamanya yang dikenalpasti mempunyai masalah kebersihan yang serius. Melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang bermodulkan aspek/ tajuk kebersihan, murid-murid akan memahami kepentingan menjaga kebersihan diri dan pengaruh kebersihan tersebut kepada diri sendiri , juga persepsi masyarakat terhadap mereka.

Walaubagaimanapun, ibubapa di rumah adalah antara individu yang paling bertanggungjawab untuk menyedarkan anak-anak tentang hal ini kerana mereka individu pertama yang berinteraksi secara terus dengan anak-anak. Kesedaran ini sepatutnya bermula dari rumah. Ibubapa perlu memantau dan memberi perhatian kepada anak-anak mereka dari segi amalan kebersihan. Walau bagaimanapun, murid-murid yang dewasa juga sewajarnya boleh berfikir secara rasional dan bertindak untuk kebaikan mereka.

Tempoh penyelesaian

16/08/2009 hingga 03/08/2009 iaitu selama 12 hari.

Tindakan susulan

Murid-murid harus diberi nasihat yang berterusan. Guru-guru bertanggungjawab untuk memastikan masalah ini tidak berterusan. Kempen-kempen mesti dilakukan secara berterusan (seminggu sekali-diselitkan ketika perhimpunan pagi sekolah). Guru disiplin harus memantau keadaan ini dari semasa ke semasa.

Catatan

Kebersihan diri adalah elemen penting yang perlu diterapkan dalam diri setiap murid. Keadaan bersih akan membantu mereka meningkatkan potensi diri dan sememangnya mempengaruhi keselesaan mereka ketika belajar. Selain itu, kebersihan diri juga mempamerkan personaliti murid-murid, juga mencerminkan keperibadian guru-guru dan sekolah. Semuanya akan saling mempengaruhi antara satu sama lain.




Jurnal (Minggu 8)


Masalah

Dalam era kemodenan dan negara yang pesat membangun ini, seharusnya setiap individu bersaing untuk mencapai kejayaan dalam kehidupan, khususnya murid-murid sekolah. Sewajarnya tiada lagi budaya lepak, malas belajar dan masalah-masalah disiplin lain yang berlaku di sekolah. Murid-murid seharusnya tahu bahawa pada merekalah disandarkan harapan negara untuk menjadi contoh tauladan terbaik kepada generasi akan datang.

Namun begitu, adalah sedikit mendukacitakan apabila hal ini dipandang enteng oleh segelintir murid-murid SKDWK (Tahun 5). Sikap sambil lewa terhadap pelajaran menjadi perkara biasa bagi mereka. Walaupun kehadiran ke sekolah hampir seratus peratus, namun prestasi akademik dan sahsiah mereka masih berada di tahap lemah dan membimbangkan. Apa yang lebih menyedihkan, ada di kalangan murid-murid ini yang masih tidak tahu membaca dan menulis sedangkan pada usia 10 tahun mereka sewajarnya telah menguasai sepenuhnya kemahiran-kemahiran asas ini.

Saya berpendapat berkemungkinan natijah kepada masalah ini (tidak tahu membaca dan menulis), murid-murid tersebut menjadi tidak berminat untuk belajar dan sering merasa bosan setiap kali proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Masalah ini adalah masalah yang serius dan harus diberi perhatian dan memerlukan tindakan segera. Ini kerana kemahiran membaca, menulis dan mengira adalah kamahiran asas yang mesti dikuasai oleh semua murid. Sekiranya masalah ini tidak diberi perhatian lanjut, visi dan misi sekolah adalah suatu yang sia-sia. Lebih malang lagi seandainya akibat dari masalah ini murid-murid tidak mendapat peluang untuk memajukan diri pada masa akan datang.

Sebagai seorang guru, saya melihat masalah ini adalah isu yang perlu ditangani segera. Murid-murid yang berdepan dengan masalah ini seharusnya ditempatkan di kelas khas bagi proses pemulihan dan pengayaan. Murid-murid harus diajar mengikut kebolehan mereka, supaya mereka dapat menguasai kemahiran asas dalam belajar dalam tempoh masa yang ditetapkan. Melalui program ini, diharapkan murid-murid tersebut mendapat peluang meneruskan pelajaran seperti murid-murid lain. guru kaunseling, guru pemulihan dan semua guru-guru harus mengembling tenaga untuk memastikan murid-murid ini mendapat sesuatu yang berguna sepanjang persekolahan mereka.

Analisis masalah

Tidak boleh menguasai kemahiran asas dalam pembelajaran; membaca, menulis dan mengira adalah masalah yang sering berlaku di mana-mana sekolah baik di sekolah pinggir bandar apatah lagi di sekolah pedalaman. Maka, kelas pemulihan diwujudkan bagi membantu murid-murid yang berdepan dengan masalah ini. Menurut Mook Soon Sang (2003) dalam penulisannya menyatakan:

”Pendidikan pemulihan merupakan satu rancangan khas untuk membantu murid-murid menguasai kemahiran-kemahiran asas itu...”

Beliau turut menjelaskan bahawa:

”Mengikut kajian pakar-pakar pendidik, kanak-kanak pada keseluruhannya mempunyai daya intelek dan kecerdasan yang rendah serta kurang berkebolehan menerima pendidikan biasa dengan sepenuhnya. Mereka kurang mampu membuat kesimpulan dan kurang memahami tentang pelajaran yang abstrak. Oleh itu, ramai murid yang menghadapi masalah dalam aktiviti pembelajaran mereka. Bagi membantu murid-murid mengatasi masalah ini, program pemulihan merupakan satu-satunya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.”

Selain dari itu, murid-murid ini sememangnya memerlukan perhatian dan bimbingan berterusan dari pihak guru. Sekiranya dibiarkan, mereka akan mencetus satu demi satu masalah bagi mendapatkan perhatian.

”Murid-murid dalam golongan ini biasanya tidak bermotivasi untuk belajar, tidak tahu cara belajar dan cara menyelesaikan masalah serta tidak berdisiplin ketika belajar. Mereka mudah terganggu dan mudah berputus asa. Murid-murid ini memerlukan banyak perhatian dan bimbingan guru samada secara kumpulan kecil atau individu”. (Mook Soon Sang, 2003)

Cadangan

Setelah menganalisa masalah di atas, saya berpendapat bahawa murid-murid ini harus diberi perhatian segera. Beberapa cadangan perlu diusulkan. Antaranya adalah tindakan guru bimbingan dan kaunseling serta kolaborasi bersama guru pemulihan dalam menganjurkan aktiviti-aktivi yang bersesuaian dengan keperluan murid-murid tersebut.

Sebagai guru bimbingan, saya rasa ada baiknya murid-murid yang manghadapi masalah ini dirujuk dan dihantar ke sesi kaunseling. Di sini, mereka dapat meluahkan apa yang terbuku di hati, juga dapat menyatakan keinginan dan kehendak sebenar mereka. Kebiasaannya, ketika sesi kaunseling murid-murid akan menunjukkan personaliti mereka yang sebenar. Semasa sesi kaunseling, guru bimbingan dapat meneroka masalah sebenar murid tersebut dan dapat membuat analisa masalah tersebut. Guru juga boleh melaksanakan program-program yang boleh menyuntik semangat dan motivasi seperti Program Bina Insan, Program Jati Diri, Program Kerjaya dan sebagainya. Program- program ini dapat menyedarkan murid-murid tentang kepentingan ilmu serta cara menjadi murid yang cemerlang. Selain itu, melalui cara ini, insyaAllah murid akan sedar akan kelemahan mereka dan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi khususnya masalah yang melibatkan kemahiran asas belajar; membaca, menulis dan mengira.

Kemudian, masalah murid boleh dirujuk kepada guru pemulihan dan masalah ini dapat diatasi dengan berkesan. Bersama guru pemulihan, murid-murid yang berdepan dengan masalah tidak dapat menguasai tiga kemahiran asas ini akan menjalani proses pengayaan dan pemulihan khas. Aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan adalah mengikut kebolehan dan prestasi murid. Justeru, besar kemungkinan minat belajar akan wujud dari semasa ke semasa. Ini kerana murid akan merasa dihargai dan diberi perhatian oleh guru.

Di samping itu, guru pemulihan harus memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawb mereka semaksimum mungkin. Melalui kelas-kelas pemulihan yang dijalankan, guru pemulihan dapat mengenal pasti masalah masalah 3M (membaca,menulis dan mengira) melalui pemerhatian, pentafsiran rekod prestasi, profil, ujian kertas dan pensel, latihan harian serta soal jawab/kuiz. Guru pemulihan juga dapat menyenaraikan masalah pembelajaran yang dikenal pasti serta dapat mengesan punca masalah dengan menggunakan ujian diagnostik.

Sementara itu, guru-guru lain juga perlu bersama-sama mengembleng tenaga dan menyuarakan pendapat dalam menangani masalah ini. Sekiranya semua pihak bersatu, insyaAllah masalah murid yang keciciran akan segera dapat diatasi.

Tempoh penyelesaian

10/08/2009 hingga 20/08/2009 iaitu selama 11 hari.

Tindakan susulan

Saya yakin sekiranya semua usaha-usaha yang dicadangkan di atas diaplikasi dan diambil perhatian oleh semua pihak, masalah ini dapat diatasi dengan segera. Murid-murid juga harus dibantu agar menyedari kelemahan diri dan sanggup berusaha untuk mempertingkatkan prestasi diri.

Catatan

Masalah 3M ini adalah isu besar dan semakin meningkat dewasa ini di mana ia memerlukan perhatian dan pertimbangan untuk diatasi segera. Murid-murid adalah generasi yang bakal menaungi kesejahteraan bangsa dan negara pada masa akan datang. Mereka juga yang akan menerajui tampuk pimpinan Negara suatu hari nanti. Maka, setiap masalah yang melibatkan murid (khususnya akademik) harus dipantau dari semasa ke semasa agar generasi yang akan datang bukan sahaja kental bersaing malah mempunyai kepakaran yang tidak kurang hebatnya berbanding negara-negara di luar sana.




Jurnal (Minggu 7)


Masalah

Sepanjang saya mengendalikan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) khususnya dalam matapelajaran Bimbingan Kelompok dan Pendidikan Jasmani, saya berpendapat bahawa kebanyakan murid kurang memberi perhatian terhadap pelajaran. Ada di kalangan murid yang tidak mengendahkan arahan guru, membuat bising dan berbual dengan rakan disebelah dan membuat hal sendiri. Masalah ini kebarangkalian berpunca dari kelemahan guru sendiri dalam mewujudkan komunikasi berkesan dalam hubungan interpersonal. Sebagai guru, saya tidak menafikan bahawa guru seharusnya memilih corak kepimpinan yang bersesuaian dan menggunakan teknik yang pelbagai dalam mewujudkan interaksi berkesan dengan murid-murid seterusnya mempengaruhi pembentukan minat murid terhadap pelajaran.

Analisis masalah

Komunikasi berkesan seringkali terjejas ekoran dari gangguan-gangguan yang berlaku dalam bilik darjah seperti kebisingan, perhubungan guru dan murid, keadaan bilik darjah yang kurang kondusif, murid kurang berminat untuk belajar dan sebagainya. Kebisingan bilik darjah misalnya menyebabkan guru menghadapi kesukaran dalam menyampaikan pelajaran supaya jelas didengar oleh murid-muridnya. Antara faktor lain berlakunya komunikasi kurang berkesan adalah sikap murid-murid sendiri yang kurang berminat untuk belajar. Mok Soon Sang menyatakan :

”Kekurangan minat belajar pun boleh menjejaskan komunikasi dalam bilik darjah. Murid-murid yang mempunyai pemikiran tertutup tidak akan menumpukan perhatian terhadap pelajaran”.

Corak kepimpinan guru dalam bilik darjah juga mungkin mempengaruhi corak interaksi guru dengan murid. Guru mungkin mengamalkan kepimpinan autokratik di mana murid-murid hanya mengikut arahan dan kehendak guru serta tidak diberi peluang menyuarakan pendapat atau memberi cadangan mereka. Akhirnya, interaksi di antara murid tidak digalakkan dan bersifat pasif.

Cadangan

Sebagai guru, saya bersedia untuk membuat perubahan untuk memastikan masalah yang dihadapi dapat diatasi. Saya akan cuba mengaplikasikan teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang disarankan seperti melaksanakan corak kepimpinan demokratik. Mok Soon Sang (2003) juga menyatakan bahawa corak kepimpinan guru ketika berada di dalam bilik darjah juga mempengaruhi keberkesanan komunikasi yang berlangsung (samada berkesan atau tidak berkesan). Guru yang mengamalkan kepimpinan demokratik akan meninggalkan kesan berikut ke atas interaksi di antara guru dengan murid-muridnya:

1. Interaksi antara guru dan murid adalah dua hala. Murid cergas bertindak balas terhadap aktiviti pengajaran guru.

2. Interaksi di antara murid dengan murid dapat digalakkan. Murid-murid melibatkan diri secara aktif dan bekerjasama dalam segala aktiviti kumpulan dalam bilik darjah.

Selain itu, guru wajar mengaplikasikan kemahiran komunikasi berkesan. Kemahiran berkomunikasi berkesan boleh dikenal pasti dari ciri-ciri pertuturan yang baik seperti berikut:

”Bertutur dengan penggunaan kepelbagaian nada. Suara yang bertenaga, tatabahasa yang betul, perkataan yang tepat, mudah difahami, penghentian sejenak yang efektif, serta nadanya penuh dengan perasaan yang menarik perhatian orang yang berkomunikasi.” Mok Soon Sang (2003)

Untuk menarik minat dan perhatian murid-murid terhadap pelajaran yang diajar, guru juga disaran agar merancang dan melaksanakan aktiviti P&P bercorak permainan. Pengaplikasian teknik menyoal untuk menggalakkan murid-murid menyertai aktiviti pembelajaran secara aktif juga boleh membantu.

Tempoh penyelesaian

03/08/2009 hingga 13/08/2009 iaitu selama 11 hari.

Tindakan susulan

Saya percaya kaedah yang pelbagai dapat membantu saya dalam menyampaikan P&P dengan berkesan. Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Reed dan Kirkpatrick (1998), mereka menyatakan:

”Seorang guru perlu mengaplikasikan pelbagai kaedah pengajaran bagi menarik minat murid untuk belajar”.

Selain itu, saya juga akan cuba menggunakan kaedah peneguhan positif dan peneguhan negatif dalam usaha mengawal murid-murid semasa aktiviti P&P berlangsung.

Catatan

Saya amat percaya guru yang kreatif dan bersedia dengan pelbagai teknik pengajaran dapat mempengaruhi suasana P&P yang bakal berlaku di dalam kelas. Murid akan lebih bersemangat sekiranya guru tampil dengan pelbagai kaedah dan perubahan dari semasa ke semasa. Maka, sebagai guru, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk senantiasa membuat pembaharuan sekaligus menjadikan proses P&P berkesan.


Jurnal (Minggu 6)


Masalah

Saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani bagi murid-murid tahun 5 Smart sebagai subjek minor. Majoriti murid dalam kelas ini adalah murid lelaki. Apa yang menjadi masalah ialah mereka cenderung untuk bermain bola sepak dan tidak mahu mengikuti aktiviti dalam P&P yang telah saya rancang. Saya tidak boleh membenarkan mereka bermain bola sepak semata-mata kerana ada sukatan pelajaran yang perlu diikuti. Selain itu, ia akan mendatangkan masalah kepada saya apabila Pensyarah Pembimbing Minor datang membuat penyeliaan dan murid-murid tidak menjalani pembelajaran seperti yang ada di dalam sukatan pelajaran. Pada permulaan kelas, itulah yang saya hadapi. Mereka meminta dan kadang-kadang berkeras untuk tetap bermain bola sepak.

Analisis masalah

Saya telah mengajar Pendidikan Jasmani bagi kelas tersebut sejak dari awal fasa praktikum. Pada permulaan, memang agak sukar untuk mendapatkan kerjasama semua murid terutamanya murid lelaki untuk terlibat dalam aktiviti P&P yang saya jalankan. Mereka berkeras untuk bermain bola sepak sahaja dan aktiviti yang saya rancang hanya dipandang sepi. Saya akui, pada awal fasa praktikum, saya tidak begitu mahir dan kurang yakin untuk mengajar subjek ini. Ini kerana ketika di maktab, saya tidak mempelajari sukatan pelajaran yang akan diajar di sekolah. Saya hanya diberikan sukatan pelajaran dan belum tahu murid sasaran yang akan diajar dan fokus pengajaran terhadap tahun berapa yang harus ditekankan.

Setelah saya selidiki, memang menjadi kebiasaan bagi murid-murid lelaki terutamanya dari tahap 2 dibenarkan bermain bola sepak. Ada waktu, mereka bermain bergandingan dengan murid berlainan kelas jika waktu PJ adalah sama.

Selain itu, mungkin juga guru kurang menguasai kandungan dalam kurikulum Pendidikan Jasmani kerana seorang guru pelatih minor. Guru Pendidikan Jasmani hendaklah menguasai kandungan yang terdapat di dalam kurikulum Pendidikan Jasmani. Menurut Rink (2002), kandungan adalah bahagian yang penting dalam kurikulum, iaitu apa yang akan dipelajari oleh pelajar. Mengenal pasti dan menguasai sesuatu kandungan kurikulum akan memudahkan guru Pendidikan Jasmani merancang pengajaran sesuai dengan kumpulan pelajar tertentu.

Cadangan

Mengikut prinsip-prinsip pengajaran, guru perlu merancang pengajaran mereka terlebih dahulu sebelum memulakan pengajaran (Zaidatol Akmaliah & Habibah, 2000). Namun, apabila guru tidak menguasai kandungan di dalam kurikulum Pendidikan Jasmani, maka guru tidak dapat menyediakan satu rancangan pengajaran yang baik. Oleh itu, guru perlu mendapatkan bimbingan dan pandangan orang yang mahir contohnya Pensyarah Pembimbing bagi mendapatkan penjelasan yang sewajarnya berkenaan kandungan pelajaran, rancangan strategi pengajaran dan pembelajaran, bahan dan sumber pengajaran, dan hasil pembelajaran. Perancangan adalah kunci kepada pembentukan pengajaran yang baik (Schempp, 2003).

Aktiviti pengajaran yang akan dijalankan juga mestilah dapat menarik perhatian pelajar untuk belajar (Schempp, 2003). Guru boleh memasukkan elemen muzik dan permainan bagi menarik minat murid untuk terus terlibat dalam aktiviti yang dirancang. Jangan biarkan ada waktu senggang yang akan menyebabkan mereka berasa bosan. Isikan setiap detik masa dengan aktiviti yang dirancang.

Strategi demonstrasi merupakan cara yang paling sesuai digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Jasmani. Ini kerana sebahagian besar objektif Pendidikan Jasmani boleh dicapai melalui aktiviti fizikal. Oleh yang demikian guru Pendidikan Jasmani perlu membuat demonstrasi dengan cara betul dan selamat tentang sesuatu pergerakan fizikal agar pelajar dapat mengikuti dan memahami setiap kemahiran fizikal yang diberikan. Untuk memastikan murid boleh menguasai sesuatu kemahiran yang diajar, guru membuat demonstrasi dengan ansur maju. Murid juga wajar diberi peluang untuk melakukan lakuan berulang kali bagi mereka menguasai kemahiran tersebut. Dalam masa yang sama, guru boleh membuat penilaian penguasaan murid tentang kemahiran tersebut berdasarkan objektif P&P yang telah ditentukan.

Selain itu, dengan adanya rancangan pengajaran yang baik belum dapat memastikan pelaksanaannya dilakukan dengan baik. Guru boleh meminta pensayarah pembimbingan atau guru bimbingan membuat pemerhatian dan memberikan komen dan pendapat membina tentang P&P yang telah dijalankan bagi memastikan P&P seterusnya dapat dilakukan dengan lebih baik mengambil kira kelemahan-kelemahan di dalam P&P yang lepas-lepas.

Tempoh penyelesaian

26/07/2009 hingga 05/08/2009 iaitu selama 11 hari.

Tindakan susulan

Jika memilih subtajuk tertentu yang mana guru belum begitu mahir dan tidak yakin untuk mengajarnya kepada murid-murid, guru wajar meminta pandangan dan bimbingan orang lain agar P&P yang berkesan tetap dapat dijalankan. Rujukan haruslah dibuat kepada orang yang mahir dalam mata pelajaran Pendidikan Jasmani seperti pensyarah atau guru panitia. Pemilihan tajuk yang sesuai dan dapat menarik minat murid juga penting.

Catatan

Guru Pendidikan Jasmani perlu terlebih dahulu mengenal pasti aspek-aspek tertentu yang akan digunakan dalam membuat persediaan untuk melaksanakan pengajaran Pendidikan Jasmani. Dengan demikian guru Pendidikan Jasmani dapat membuat satu rancangan kerja dengan teliti dan sempuma. Menurut Mok Soon Sang (2008), dengan adanya rancangan kerja ini, guru boleh melaksanakan program pengajaran dan pembelajarannya berdasarkan sukatan pelajaran secara sistematik serta mengikut pemeringkatan yang sesuai. Objektif yang hendak dicapai pula perlu ada kaitan dengan potensi yang ada pada pelajar (Stillwell & Willgoose, 1997). Dengan demikian ini akan dapat membantu guru Pendidikan Jasmani melaksanakan pengajaran Pendidikan Jasmani dengan lebih sistematik.


Jurnal (Minggu 5)


Masalah

Saya mengajar murid-murid tahun 5 Smart untuk bimbingan kelas. Dalam kelas minggu ini saya dapati terdapat dua orang murid yang sangat nakal. Mereka mengganggu rakan-rakan lain yang sedang melaksanakan aktiviti yang saya berikan. Lalu, saya telah mendenda mereka berdua dengan diasingkan dari rakan-rakan lain dengan berasingan di hadapan kelas. Walau bagaimanapun, dendaan tersebut tidak menyekat atau memberhentikan mereka dari mengulangi tingkah laku yang sama. Mereka berdua tetap membuat bising dan mengusik rakan-rakan lain yang sedang melakukan tugasan yang saya berikan.

Analisis masalah

Saya telah memasuki kelas ini sebanyak empat kali iaitu untuk bimbingan kelas. Kelas ini merupakan kelas kelima jika menurut pencapaian akademik murid-muridnya. Tingkah laku mereka juga agak nakal berbanding empat kelas yang ke hadapan. Namun, bukan semua murid di kelas tersebut bertingkah yang sama. Hanya ada segelintir daripada mereka yang bersikap agak nakal. Kedua murid ini bukanlah dalam kalangan murid yang tidak tahu menulis dan membaca jika ingin dikaitkan tingkah laku mereka dengan keupayaan akademik. Saya perhatikan mereka tiada masalah pembelajaran seperti tidak tahu membaca dan menulis. Menurut guru kelas mereka, dua murid ini datang keluarga yang berpendapatan sederhana dan mempunyai adik-beradik yang lebih daripada 4 orang. Berkemungkinan kedua murid ini hanya ingin mendapatkan perhatian dari saya yang merupakan guru baru yang memasuki kelas mereka sementelah lagi saya seorang guru perempuan. Selain daripada itu, mungkin juga mereka tidak memahami pengajaran saya pada hari tersebut.

Cadangan

Bagi mengelakkan kedua murid ini mengganggu rakan sekelas ketika proses pengajaran dan pembelajaran yang akan dijalankan kelak, guru boleh memanggil kedua murid tersebut untuk sesi kaunseling individu. Menurut Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar (2006) manusia itu unik. Tidak akan ada dua individu yang sama bahkan kembar seiras sekalipun. Setiap manusia mempunyai nilai, persepsi, dan hasrat yang berbeza. Saya perlu cuba bina hubungan yang baik bersama mereka dengan bertanyakan tentang diri mereka, keluarga mereka dan minat mereka ke sekolah dengan harapan makin banyak yang diketahui tentang seseorang, lebih mudah untuk memahami sikapnya. Saya membuat penerokaan untuk mengetahui sebab-sebab mereka selalu mengacau rakan sekelas semasa P&P dijalankan. Setelah mengetahui dan memahami seseorang murid dengan lebih dekat, mungkin dapat dikenalpasti punca mereka berkelakuan tertentu. Oleh itu, saranan yang sesuai boleh diberikan agar murid tersebut tidak terus berkelakuan yang kurang menyenangkan guru.

Selain itu, selalu berinteraksi dengan bertanya khabar atau menegur murid bila mana bertemu dengannya akan menambahkan lagi rasa senang hati di dalam diri murid. Murid akan rasa ada orang mengambil berat tentang dirinya. Jika sebelum ini, murid itu hanya dimarahi kerana berbuat nakal, kali ini dia rasa dihargai. Kebarangkalian untuk murid tersebut bertingkah yang kurang menyenangkan kelak akan berkurangan.

Tempoh penyelesaian

19/07/2009 hingga 29/07/2009 iaitu selama 11 hari.

Tindakan susulan

Guru memantau kelakuan murid terbabit ketika dalam P&P setelah sesi kaunseling individu dijalankan. Dari situ, guru dapat mengenalpasti sama ada saranan yang diberikan setelah mengetahui masalah murid terbabit diaplikasikan oleh murid atau tidak. Selain itu, selalunya akan ada sedikit perubahan dalam tingkah laku murid apabila telah dipanggil untuk menjalani sesi bersama guru kerana guru selalu berinteraksi dengannya dan mengetahui maklumat peribadi yang jarang dikongsikan dengan orang lain.

Catatan

Menurut Shertzer dan Stone (1974) kaunseling individu sebagai proses interaksi yang memudahkan kefahaman bermakna mengenai diri dan alam sekitarnya lalu menyebabkan penentuan matlamat-matlamat dan nilai-nilai untuk tingkah laku masa hadapan.

Sesi kaunseling individu yang dijalankan bersama klien seperti murid di atas bermatlamat untuk memperbaiki imej diri klien yang negatif (Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim dan Halimatun Halaliah Mokhtar 2006). Imej diri yang negatif merupakan halangan bagi klien untuk mencapai cita-cita atau membuat sebarang tindakan. Klien belajar memupuk ciri-ciri yang baik dan mengurangkan ciri-ciri yang negatif.


Jurnal (Minggu 4)


Masalah

Saya membuat bimbingan kelas bagi murid-murid Di kelas 3 Genius. Murid-murid di dalam kelas ini tidak menimbulkan banyak masalah bahkan setiap aktiviti yang telah saya dirancang untuk mereka dapat dijalankan dengan baik. Cuma, apabila ada aktiviti yang melibatkan pembentangan di hadapan kelas, agak sukar untuk mendapatkan murid secara sukarela membuat pembentangan di hadapan kelas. Saya merancang mereka dapat berkongsi di hadapan kelas hasil aktiviti yang telah dijalankan untuk membiasakan mereka bercakap di hadapan orang ramai. Apa yang mereka perlu buat adalah membaca hasil tugasan yang telah dihasilkan atau menceritakan tentang gambar yang telah dilukis. Apa yang berlaku biasanya adalah kebanyakan murid akan mula menundukkan kepala atau ada yang menuding jari ke arah murid-murid lain dan menyebut nama rakan lain apabila diminta bercakap di hadapan kelas.

Analisis masalah

Saya telah memasuki kelas ini sebanyak 2 kali untuk bimbingan kelas. Saya akan menyuruh mereka melakar atau menulis sesuatu sebagai tugasan. Kemudian, saya meminta murid-murid secara sukarela untuk berkongsi hasil tugasan yang telah disiapkan dengan rakan sekelas melalui cara membentangkannya yang di hadapan kelas. Selalunya, mereka akan mula membuat bising dan menyebut nama murid lain agar keluar dan bercakap di hadapan. Yang selebihnya ada yang hanya menunduk kepala dan bertingkah seolah-olah sibuk menyiapkan tugasan yang saya berikan. Kelas ini terdiri daripada murid-murid yang agak baik pencapaian akademiknya. Mereka juga bukan dari kalangan murid yang suka membuat bising ketika guru mengajar. Namun, kebanyakan murid tidak mahu bercakap di hadapan kelas. Ada juga yang bersetuju untuk membentang di hadapan. Namun, apabila berada di hadapan kelas, murid tersebut berdiam diri pula. Menurut Nurabadi (2007) antara sebab murid malu untuk bertanya ialah kerana tidak yakin dengan diri sendiri dan bimbang diketawakan oleh orang lain. Begitu juga untuk bercakap di hadapan kelas. Persamaan dua perkara ini ialah orang yang bercakap akan menjadi tumpuan kelas. Jadi apa yang dilakukan akan menjadi tontonan umum. Kalau salah atau ada yang tidak kena, pasti akan ditertawakan. Selain itu, mereka juga mungkin tidak biasa untuk bercakap di hadapan kelas kerana ia tidak menjadi amalan kebiasaan dalam P&P terutamanya apabila guru mengamalkan interaksi sehala dengan murid-murid. Aktiviti pembelajaran bercorak pasif di mana hanya guru yang bercakap dan murid-murid hanya mendengar.

Cadangan

Apa yang guru boleh lakukan ialah bergerak ke tempat di mana murid tersebut duduk dan memimpinnya bergerak ke hadapan sambil mengatakan kepadanya yang guru akan menemaninya di hadapan. Jika dia berdiam diri, bantunya dengan mengucapkan apa yang sepatutnya disampaikan agar murid dapat mengikuti apa yang guru ucapkan.

Selain itu, berikan galakan kepada murid-murid yang telah membentang di hadapan. Contohnya arahkan semua murid memberi tepukan kepadanya. Guru juga boleh memberi galakan dengan memberikan kata-kata pujian dan positif seperti ”Bagus!” dan ucapan terima kasih. Pemberian hadiah contohnya coklat atau apa sahaja juga boleh membantu menggalakkan murid-murid untuk bercakap di hadapan kelas. Ia perlu diberikan sejurus selepas murid tersebut telah bercakap di hadapan agar dapat menyuntik motivasi ekstrinsik dalam diri murid-murid yang lain supaya mahu membentang dan bercakap di hadapan kelas.

Menjadikan aktiviti pembentangan di dalam kelas sebagai aktiviti rutin dalam P&P juga boleh membantu murid memupuk keberanian dan keyakinan untuk bercakap di khalayak. Apabila ia telah menjadi sesuatu yang rutin, secara tidak langsung keyakinan dalam diri murid-murid akan terbina.

Tempoh penyelesaian

12/07/2009 hingga 23/07/2009 iaitu selama 12 hari.

Tindakan susulan

Guru membuat aktiviti yang melibatkan murid-murid untuk bercakap dan berkongsi aktiviti yang telah di buat di hadapan kelas. Sebagai permulaan, isi yang ingin dikongsi itu adalah perkara yang amat dekat dengan diri murid dan mudah untuk diceritakan kepada orang lain. Selain itu, guru merancang aktiviti yang memerlukan murid-murid menulis beberapa ayat pendek tentang sesuatu topik. Kemudian, apabila melakukan pembentangan guru hanya perlu meminta murid-murid membaca kembali apa yang telah ditulis di hadapan kelas dengan suara yang kuat.

Catatan

Kebanyakan murid kurang menyukai aktiviti yang melibatkan mereka untuk bercakap atau membuat aktiviti di hadapan kelas berhadapan dengan orang ramai walaupun audien merupakan rakan sekelas yang telah mereka kenali. Namun, aktiviti sebegini yang seharusnya mendapat penglibatan dari semua murid bagi membina keyakinan diri, keberanian bercakap di khalayak dan berani meluahkan apa yang mereka rasakan dan fikirkan. Dek kerana ketidakbiasaan melakukannya, maka murid-murid enggan dan berasa malu apabila diminta bercakap di hadapan di mana semua mata dan perhatian ditumpukan kepadanya. Setiap perkara baru pasti sukar untuk dimulakan dan dilakukan. Di sinilah peranan guru untuk memberi peluang dan galakan kepada murid-murid untuk mencungkil dan menggunakan potensi diri ke arah yang lebih baik.

Mengikut Teori Psikososial Erikson (1963), pada usia 9 tahun murid mengalami fasa industri lawan rasa rendah diri. Bagi membantu murid menguasai kemahiran bercakap di khalayak, guru perlu memberi bimbingan dan galakan suapaya murid tidak berasa rendah diri dalam pencapaian akademik kelak bahkan dalam hubungan sosial denga individu lain di persekitaran mereka.

Cadangan di atas berasaskan Teori Pelaziman Operan daripada B. F. Skinner. Ia adalah rangsangan untuk menambahkan kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diinginkan guru. Walaupun peneguhan ini diberikan hanya kepada murid yang bercakap di hadapan, namun secara tidak langsung pemberian tersebut mencetus motivasi untuk murid-murid lain untuk melakukan perkara yang sama.


Jurnal (Minggu 3)


Masalah

Saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani serta membuat bimbingan kelas bagi murid-murid dari kelas 5 Smart. Setelah hampir dua minggu mengajar mereka, saya dapati kebanyakan murid-murid lelaki kurang memberi tumpuan terhadap apa yang saya ucapkan di hadapan kelas. Mereka kelihatan lebih senang bersembang dengan rakan di sebelah atau membuat kerja sendiri. Terdapat dua orang murid lelaki yang bukan sahaja setakat tidak memberi tumpuan, malahan membuat bising ketika saya mengajar di hadapan. Ada ketika saya menghentikan proses pengajaran dan pembelajaran kerana rasa terganggu dengan tingkah mereka berdua.

Analisis masalah

Kelas 5 Smart dikategorikan sebagai kelas yang mempunyai murid yang agak lemah dari segi pencapaian akademik. Selain itu, mereka juga dikatakan suka membuat bising dan kurang memberi perhatian ketika guru mengajar di hadapan kelas. Namun, terdapat beberapa orang murid lelaki sahaja yang bertingkah sedemikian manakala sebahagian besar yang lain memberi tumpuan dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik. Dua orang murid yang saya anggap agak nakal pernah saya asingkan supaya duduk di hadapan kelas, namun mereka masih bersikap yang sama bahkan mengganggu murid-murid lain yang mahu mengikuti pengajaran dan pembelajaran. Saya merasakan sudah bersikap garang terhadap mereka, namun tiada apa yang berubah. Terdapat juga murid yang tidak memberi perhatian kerana dia tidak boleh menulis dan membaca. Mungkin mereka merasakan bahawa mereka tidak perlu memberi tumpuan kerana tiada apa-apa yang akan mereka peroleh nanti. Saya juga dapati murid-murid di dalam kelas ini akan memberi tumpuan apabila guru-guru lama yang telah mereka kenali masuk ke dalam kelas dan mengajar mereka. Mungkin kerana saya seorang guru baru, maka mereka sengaja bersikap demikian. Berkemungkinan juga saya tidak cukup garang dan tegas terhadap mereka.

Cadangan

Bagi mengelakkan murid-murid membuat hal sendiri dan memberi tumpuan kepada apa yang saya sampaikan, saya akan membahagikan murid-murid di kelas tersebut kepada beberapa buah kumpulan. Prestasi setiap kumpulan akan dinilai dari segi perolehan maklumat dan pematuhan arahan yang diberi guru. Kumpulan yang menjawab soalan yang dikemukakan serta menjaga sahsiah (memberi tumpuan dan tidak membuat bising) akan diberikan pelekat senyuman. Pelekat ini akan dikumpul sehingga minggu akhir praktikum saya di sekolah ini. Kumpulan yang mendapat bilangan pelekat terbanyak akan diberikan ganjaran. Saya akan menyediakan sebuah carta “Smiley Kami” yang akan saya bawa ke kelas dan dipaparkan di hadapan kelas. Setiap kumpulan akan diberikan 3 pelekat senyuman sebagai bonus awal. Apabila ada tingkahlaku positif dari ahli kumpulan dalam kelas pada hari itu, 1 pelekat akan ditambah. Manakala jika ada tingkahlaku negatif yang dilakukan, 1 pelekat akan ditanggalkan dan diambil dari carta kumpulan tersebut.

Selain itu, bagi memotivasikan murid-murid agar berkelakuan seperti yang dikehendaki guru, setiap individu yang menjawab soalan atau secara sukarela mahu melakukan apa yang diarahkan guru, akan mendapat ganjaran sejurus selepas itu. Murid yang paling banyak mendapat ganjaran harian, di akhir praktikum nanti akan mendapat ganjaran bersama kumpulan dengan bilangan pelekat senyuman terbanyak.

Tempoh penyelesaian

12/07/2009 hingga 23/07/2009 iaitu selama 12 hari.

Tindakan susulan

Guru membuat satu carta “Smiley Kami” yang mengandungi nama kumpulan dan ahlinya. Carta ini akan dibawa dan dipaparkan di dalam kelas ketika proses pengajaran dan pembelajaran. Guru akan membuat catatan tentang individu yang paling banyak mengumpul ganjaran harian.

Catatan

Setiap ahli adalah bertanggungjawab terhadap kumpulan masing-masing. Jika ada ahli kumpulan yang melakukan tingkahlaku negatif, rakan ahli yang lain akan menegurnya agar tidak kehilangan pelekat senyuman milik kumpulan mereka. Ini akan memupuk sikap bekerjasama dan saling menegur antara satu sama lain.

Selain itu, murid-murid akan memberi tumpuan kepada apa yang disampaikan guru kerana jika ada murid yang tidak berbuat demikian, pelekat senyuman akan diambil. Setiap kumpulan pasti akan berlumba bagi mendapatkan pelekat yang banyak. Murid akan cuba memastikan pelekat yang ada tidak akan diambil, bahkan bertambah setiap kali ada kelas bersama guru.

Secara individu, murid dimotivasikan untuk bersikap positif kerana akan mendapat ganjaran secara terus dan dimiliki sendiri. Pasti akan timbul keinginan dalam diri murid-murid untuk mendapatkan ganjaran tersebut apabila sudah ada rakan-rakan mereka yang memperolehnya.

Motivasi ini menurut Mok Soon Sang (2008) adalah motivasi ekstrinsik. Ia diwujudkan daripada rangsangan luaran bertujuan untuk menggerakkan orang untuk melakukan sesuatu aktiviti yang akan membawa faedah kepadanya.

Cadangan di atas berasaskan Teori Pelaziman Operan Skinner di mana peneguhan positif (pemberian pelekat senyuman dan ganjaran harian) adalah rangsangan untuk menambahkan kebarangkalian pengulangan tingkah laku positif yang diinginkan guru. Peneguhan negatif (penolakan bilangan pelekat senyuman) juga diaplikasikan bagi memberi kesan yang tidak menyeronokkan dalam diri murid-murid dan dengan harapan mereka akan mengulangi tingkah laku yang diingini guru.


Jurnal (Minggu 2)


Masalah

Selaku seorang guru praktikum dalam bimbingan dan kaunseling, selain mengajar Pendidikan Jasmani dan membuat bimbingan kelas, saya juga perlu mencari klien untuk sesi kaunseling. Klien ini adalah dalam kalangan murid-murid sekolah tersebut. Sesi kaunseling merangkumi hampir dua pertiga dari jadual waktu saya; sesi kaunseling individu dan kaunseling kelompok. Seperti yang dijadualkan, setiap sesi perlu dijalankan dan ada klien yang datang untuk sesi sama’da secara sukarela, dirujuk atau dipanggil oleh saya sendiri.

Analisis Masalah

Sesi kaunseling individu memerlukan seorang klien manakala bagi kaunseling kelompok sekurang-kurangnya 5 orang untuk dikira sebagai satu kelompok. Dalam seminggu, ada 3 sesi kaunseling kelompok dan 4 sesi kaunseling individu yang perlu dijalankan. Jadi, jumlah minima klien yang diperlukan dalam masa seminggu adalah 19 orang. Bagi saya yang baru seminggu berada di sekolah ini tentu agak mustahil untuk mendapatkan 19 orang untuk melaksanakan sesi. Hanya 2 kali saya masuk ke kelas untuk relief. Kebanyakan masa yang terluang dalam minggu pertama digunakan untuk beramah mesra dengan staf dan warga pendidik serta mendapatkan jadual, senarai nama pelajar dan jadual induk sekolah. Justeru, bagaimana saya harus mendapatkan 19 orang murid untuk dijadikan klien dalam sesi? Saya masih belum mengenali murid-murid di sini dan begitu juga sebaliknya. Jadi, di sinilah rasionalnya aktiviti reach out dilakukan dalam minggu pertama agar dalam minggu kedua telah ada murid untuk dijadikan klien.

Cadangan

Untuk mendapatkan klien bagi sesi kaunseling yang telah dijadualkan pada minggu ini dan seterusnya, saya telah meminta bantuan guru pembimbing. Beliau telah memperkenalkan saya dengan salah seorang ahli dari kelab Tunas Pembimbing Rakan Sebaya (TPRS) di sekolah itu. Saya berkenalan dan cuba membina hubungan yang baik dengannya. Akhirnya, dia memperkenalkan perkhidmatan yang saya akan laksanakan kepada rakan-rakan sekelasnya. Malahan, dia sendiri datang membawa rakan-rakannya untuk menjadi klien sesi kaunseling. Kerjasama dan kerelaan mereka untuk datang sebagai klien agak mengejutkan saya. Mungkin kerana dia sendiri sebagai ahli TPRS telah biasa dengan aktiviti-aktiviti bimbingan dan kaunseling.

Selain itu, saya juga mengedarkan borang sesi kaunseling individu dan kelompok kepada guru-guru kelas tertentu yang telah saya kenali. Jumlah gurunya terlalu ramai, belum sempat saya kenali kesemuanya. Mujur juga sekolah ini mempunyai ramai murid. Jumlah keseluruhan murid mencecah 1400 orang. Dalam satu darjah sekurang-sekurangnya terdapat 6 kelas. Saya berikan borang kepada guru kelas yang pertengahan dan lemah dari segi pencapaian akademik. Selalunya, murid-murid di dalam kelas begini dianggap oleh para guru sebagai lebih memerlukan kaunseling kerana masalah seperti ponteng, motivasi diri selain daripada lemah dari segi akademik. Pentingnya rapport baik dengan guru-guru dan sesiapa jua warga di sekolah kerana jika saya memerlukan apa-apa bantuan kelak, mereka inilah yang boleh saya pohon pertolongan. Lagipun, tiada ruginya berbuat baik dan berkenal mesra dengan semua orang bahkan ia lagi digalakkan untuk mengerat silaturrahim sesama insan.

Tempoh penyelesaian

28/06/2009 hingga 09/07/2009 iaitu selama 12 hari.

Tindakan susulan

Saya bertemu dan bertanya kembali kepada guru-guru kelas yang telah saya edarkan borang rujukan murid bagi sesi kaunseling. Jika terdapat nama yang dirujuk dalam borang tersebut, saya akan panggil murid-murid tersebut agar hadir dalam sesi kaunseling mengikut jadual waktu saya yang telah ditetapkan. Setiap hari hanya akan ada satu sesi kaunseling individu dan kaunseling kelompok. Nama-nama murid yang telah diberikan oleh guru-guru kelas akan saya tentukan waktu dan masa untuk sesi dijalankan. Borang keluar kelas juga saya edarkan atau saya sendiri datang ke kelas murid terbabit untuk meminta kebenaran guru yang sedang mengajar untuk membenarkan murid tersebut untuk keluar dan menjalani sesi kaunseling.

Catatan

Kebanyakan murid-murid yang dirujuk oleh guru-guru kelas adalah dari kelas yang pertengahan hingga yang akhir sekali. Murid-murid di kelas permulaan selalunya diandaikan tidak mempunyai masalah yang berat walhal sebenarnya kaunseling bukan untuk murid-murid yang menghadapi masalah sahaja seperti ponteng dan melanggar peraturan sekolah.

Kaunseling menurut Lembaga Kaunselor Malaysia (1998) adalah sustu proses sistematik untuk membantu perhubungan (berdasarkan prinsip-prinsip psikologi ysng dilaksanakan oleh kaunselor berdaftar mengikut kod etika kaunseling), mencapai satu perubahan, kemajuan dan penyesuaian yang holistic, baik dan sukarela pada diri klien suapaya perubahan kemajuan, dan penyesuaian itu akan berterusan sepanjang hayat klien. Ia adalah satu proses pertolongan professional yang bertujuan membantu individu memahami dirinya dan alam sekeliling.


Jurnal (Minggu 1)

Masalah
Saya menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah untuk tempoh 12 minggu. Major saya adalah dalam Bimbingan dan Kaunseling manakala Pendidikan Jasmani sebagai subjek minor. Pada minggu pertama ini, saya perlu melakukan aktiviti pengurusan seperti mendapatkan jadual dan membuat reach out untuk perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang akan saya lakukan sepanjang tempoh 11 minggu yang akan datang. Namun, hanya pada hari Rabu saya memperoleh jadual waktu untuk subjek minor dan saya harus berbincang dengan pasangan praktikum untuk menyusun jadual subjek major agar tidak bertindan. Dalam masa yang sama, aktiviti reach out masih belum dapat dimulakan kerana fokus untuk mendapatkan jadual waktu dan membina rapport dengan warga sekolah yang guru-gurunya sahaja menjangkau bilangan 80 orang.

Analisis masalah
Guru pembimbing telah memaklumkan kepada guru panitia Pendidikan Jasmani bagi mendapatkan kelas untuk saya mengajar subjek tersebut. Namun, oleh kerana kesibukan dan kekangan masa di mana banyak masa dihabiskan untuk membina rapport dengan warga pendidik yang ramai dan melihat keadaan sekolah, hanya pada hari Rabu saya mendapat jadual tersebut. Itupun hanya setelah ditawarkan oleh seorang guru agar saya mengambilalih kelasnya bagi mata pelajaran tersebut. Saya juga perlu mencari jadual yang mempunyai kelas anjal untuk bimbingan kelas. Waktu mata pelajaran elektif sahaja dibenarkan untuk tujuan ini berbanding mata pelajaran teras kerana ia adalah subjek-subjek untuk UPSR. Aktiviti reach out hanya dapat dimulakan hampir di akhir minggu pertama. kerana ada kekangan. Contohnya, papan kenyataan yang saya ingin gunakan berkunci dan hanya pada hari Rabu ia dapat dibuka. Saya juga harus mengubahsuai bilik bimbingan dan kaunseling agar kehadiran saya di situ dilihat kewujudannya. Namun, bukan mudah untuk kerja pengubahsuaian kerana bilik tersebut telah dihias indah bahkan telah memenangi pertandingan Pendidikan Pencegahan Anti Dadah di peringkat kebangsaan. Ia adalah hasil kerja tangan murid-murid serta warga pendidik sekolah itu.

Cadangan
Untuk mendapatkan jadual subjek minor lebih awal, saya harus bertemu sendiri dengan guru panitia agar berbincangan dapat dijalankan. Apa-apa masalah yang timbul boleh diselesaikan segera dan tidak perlu menunggu waktu yang lama untuk mendapatkan jadual. Saya boleh terus mendapatkan sukatan pelajaran dan sebagainya darinya.
Untuk mendapatkan jadual anjal bagi bimbingan kelas, saya dapatkan jadual induk bagi semua kelas yang ada bagi memudahkan saya untuk membuat rujukan. Saya boleh memilih waktu yang bersesuaian iaitu kelas anjal bagi mata pelajaran elektif seperti Pendidikan Seni dan Muzik. Saya boleh terus bertemu dengan guru mata pelajaran terbabit bagi mendapatkan kebenaran untuk mengambil alih kelasnya untuk saya lakukan bimbingan kelas.
Bagi pengubahsuaian bilik bimbingan, saya telah berbincang dengan guru pembimbing. Memang agak mustahil untuk mengubah bilik tersebut sepenuhnya kerana ruangnya yang besar dan dekorasi cantik yang telah sedia ada. Namun, saya akan membuat pengubahsuaian kepada sudut-sudut tertentu yang diberikan oleh guru pembimbing tersebut. Sebenarnya beliau tidak kisah dengan apa yang ingin saya lakukan terhadap bilik tersebut asalkan ia masih berinformasi dan bermanfaat kepada sesiapa jua yang memasuki bilik tersebut. Selain itu, saya juga boleh menukar maklumat-maklumat yang ada di papan kenyataan agar lebih terkini dan berinformasi bagi makluman dan rujukan murid-murid di sekolah itu amnya. Saya bebas memilih apa jua bentuk maklumat yang ingin dipaparkan asalkan ianya berkaitan dengan bimbingan dan kaunseling. Walaupun terdapat kekangan masa untuk melakukan reach out, saya masih dapat melakukannya di akhir minggu pertama. Saya telah meletakkan brosur di tempat-tempat yang sering dikunjungi seperti perpustakaan, bilik guru dan bilik bimbingan dan kaunseling sendiri. Saya juga sempat membuat penanda buku dan mengedarkannya kepada murid-murid. Sekejap sahaja telah habis penanda buku tersebut. Saya andaikan reach out ringkas saya ini telah berjaya menarik perhatian murid-murid tentang keberadaan saya di sini.

Tempoh penyelesaian
24 Jun 2009 hingga 28 Jun 2009 iaitu selama lima hari.

Tindakan susulan
Bila ada waktu terluang saya berjumpa dengan guru panitia bagi mata pelajaran Pendidikan Jasmani untuk mendapatkan sukatan pelajaran yang sebenar dan apa-apa bahan yang dapat membantu saya dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran tersebut. Perbincangan saya dengannya sangat berinformasi dan akan banyak membantu saya disamping membina rapport yang baik dengannya. Saya menambahkan lagi bilangan penanda buku agar dapat diedarkan kepada lebih ramai murid di sekolah itu. Selain itu, saya tambahkan lagi bilangan brosur yang saya letakkan di lokasi tertentu kerana ada yang telah kehabisan diambil oleh murid-murid.

Catatan
Walaupun kebanyakan masa di minggu pertama ini banyak dihabiskan dengan melihat keadaan dan budaya sekolah serta membina rapport dengan warga sekolah yang menyebabkan saya kurang waktu untuk membuat kerja-kerja pengurusan, namun apa yang telah saya lakukan tidak kurang pentingnya kerana ia akan memudahkan tugas-tugas saya terutamanya apabila ingin mendapatkan klien untuk sesi kaunseling nanti. Diharapkan dengan rapport baik yang telah dibina akan banyak membantu saya sepanjang 11 minggu praktikum nanti.

1 ulasan:

  1. Salam,sya minta izin untuk copy paste semua yee...

    BalasPadam