Selasa, 15 September 2009

HARAPAN MELALUI PRAKTIKUM

Bismillahirahmanirrahim... Pertama sekali saya panjatkan kesyukuran pada Pencipta Yang Maha Agung kerana masih memberikan kesempatan untuk saya terus bernaung di bawah gerbang ilmu yakni bumi Institut Perguruan Darul Aman. Saya bertuah kerana terpilih untuk menjadi sebahagian dari warga pendidik anak bangsa, Alhamdulillah. Di sini, saya belajar tentang pelbagai perkara terutama sekali hal-hal berkaitan pendidikan. Saya diberi bimbingan dan tunjuk ajar oleh pensyarah-pensyarah tentang bagaimana sebenarnya menjadi seorang guru. Pengalaman- pengalaman inilah mengajar saya bahawa menjadi seorang guru bukanlah sesuatu yang mudah sepertimana yang dikatakan oleh kebanyakkan orang.
Alhamdulillah, selepas hampir lima bulan saya di semester pertama, kini saya dan rakan-rakan dipertanggungjawab untuk melaksanakan latihan praktikum selama tiga bulan. Saya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah. Pada mulanya, pelbagai perasaan yang saya rasakan; gembira, takut, gementar dan sebagainya. Namun, sedikit kelegaan saya rasakan kerana apabila datang ke situ awal-awal lagi saya dan rakan-rakan sepraktikum telah disambut baik oleh para pentadbir sekolah terutama sekali Tuan Guru Besar sekolah tersebut. Kami diberi taklimat ringkas serta menerima ucapan selamat datang daripada beliau. Guru-guru yang kami temui seawal tiba di sekolah pada paginya juga menampakkan riak wajah yang mesra. Jadi, saya rasa itu sebagai petanda awal yang baik bahawa saya akan betah menjalani praktikum di sekolah ini nanti. Mungkin terlalu awal untuk membuat ulasan, namun berdasarkan pandangan dan pertemuan pertama itu saya harapkan ia memang sebegitu semulajadinya. Tak salah rasanya kalau berbaik sangka.
Walau apapun, saya tetap mempunyai harapan terhadap praktikum yang bakal saya laksanakan ini. Antara harapan-harapan saya adalah:
i. Dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
ii. Kehadiran saya ke sekolah itu diterima oleh guru-guru, murid-murid dan kakitangan sekolah.
iii. Dapat menjalinkan hubungan profesional dengan guru-guru dan kakitangan sekolah.
iv. Dapat bekerjasama dengan pihak sekolah dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.
v. Dapat membantu murid-murid dalam meringankan beban masalah yang dihadapi.
vi. Dapat membantu meningkatkan prestasi murid-murid.
vii. Dapat membuat sumbangan kepada sekolah.
viii. Dapat memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh pihak Intitut Pendidikan Guru dalam melahirkan guru cemerlang.
ix. Paling penting, saya dapat meningkatkan prestasi dan kemahiran saya dalam bidang bimbingan dan kaunseling.
Saya amat berharap agar saya dapat memenuhi harapan-harapan ini, Insyaallah. Sokongan dan bimbingan dari pihak pensyarah IPDA serta guru-guru Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara amat saya harapkan dan alu-alukan. Semoga saya dapat melaksanakan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi dan amanah. Tidak lupa juga doa restu dari ibubapa dan keluarga saya pohon dalam memudahkan perjalanan tugasan saya. Akhir sekali, saya amat berharap agar saya berjaya dengan cemerlang dalam apa jua yang saya lakukan, Amin Ya Rabb...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan